IPOH: Lima lelaki yang sedang leka membungkus air ketum dalam sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, di sini telah ditahan dalam satu serbuan polis pada malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 440 bungkusan air ketum serta empat bakul berisi daun hijau yang disyaki daum ketum seberat 30 kilogram dalam serbuan 11 malam itu.

“Ketika serbuan tiga lelaki yang berada di ruang tamu sedang membungkus air disyaki ketum manakala dua lelaki lagi berada di ruang dapur sedang memasak dua periuk besar berisi air yang disyaki air ketum.

“Hasil pemeriksaan di ruang tamu terdapat empat bakul plastik berisi bungkusan plastik disyaki air ketum dan empat lagi bakul berisi daum ketum, kemudian kesemua lima lelaki berkenaan ditahan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Tambah beliau dalam serbuah itu, polis turut merampas alat penimbang, dua buah tong gas, dapur gas dan kaki tungku dapur yang digunakan suspek.

Kes sedang disiasat dibawah Sek.30(3) Akta Racun. Satu sidang media berkenaan tangkapan ini akan dibuat pada petang nanti.