PARIT 25 Nov. – Kegiatan sekumpulan lima lelaki yang diketuai remaja berusia 16 tahun memecah masuk dan samun sebuah kedai runcit di Bota tumpas dengan penahanan kesemua mereka baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua suspek berusia 16 hingga 28 tahun itu diberkas dalam tangkapan berasingan di sekitar Bota pada Jumaat lalu.

Katanya, susulan tangkapan tersebut pihaknya berjaya merampas 21 kotak rokok pelbagai jenama yang belum digunakan, enam kad tambah nilai yang belum dan sudah digunakan serta tiga unit tablet.

“Tangkapan ini dilakukan susulan laporan yang diterima berkaitan kes pecah masuk kedai runcit tersebut pada 7 Oktober, 14 dan 22 November yang melibatkan kerugian sehingga RM7,000.

“Kumpulan ini didapati aktif melakukan pecah masuk kedai runcit di Bota dengan mencuri sejumlah besar rokok dan kad tambah nilai telefon. Mereka melakukan kegiatan tersebut pada awal pagi sehingga sebelum subuh,” katanya.

Menurut beliau, siasatan yang dilakukan terhadap kumpulan ini mengakui mereka melakukan kesemua kes pecah masuk kedai runcit yang dilaporkan.

Katanya, pemeriksaan air kencing dilakukan terhadap kesemua suspek mendapati tiga daripadanya positif dadah iaitu lelaki berusia 28 tahun yang merupakan penganggur, pelajar kolej di Ipoh berusia 18 tahun dan remaja berusia 16 tahun yang tidak bersekolah.

“Siasatan sedang dilakukan bagi mengesan dua lagi rakan sejenayah mereka iaitu Meor Musthaqiim Meor Taadjuddin dan Mohamad Kamimi Redzuan Othman berusia lingkungan 20-an untuk membantu siasatan dan mendapatkan kembali barang yang dicuri,” katanya.

Tambah beliau, kelima-lima suspek kini direman sehingga Selasa ini untuk siasatan. – UTUSAN ONLINE