KUALA KANGSAR: Lebih 100 ahli yang mewakili lima badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di pekarangan Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat sebagai membantah operasi penghapusan bangsa etnik Rohinya yang dilancarkan pasukan keselamatan Myanmar.

Lima NGO itu termasuk SERANTAU Muslim Perak, Pertubuhan Belia Imarah Masjid dan Dewan Pemuda PAS Perak mengadakan perhimpunan tersebut selama setengah jam sebelum bersurai.
Ahli-ahli NGO berkenaan yang membawa sepanduk bertulis `selamatkan Rohingya’ turut menarik ramai Jemaah masjid untuk menyertai perhimpunan itu.

Menurut Pengurus SERAUTAU Muslim Perak, Shahril Jamil Baharin, perhimpunan aman itu diadakan bagi mendapatkan sokongan bulat dan kuat daripada umat islam tanpa mengira fahaman politik dalam menyatakan sokongan mereka terhadap isu penghapusan etnik Rohingya ini.

“Apa yang kita harapkan umat Islam bangun dan sedar bahawa isu Rohingya ini bukan isu bangsa tetapi ia melibatkan isu agama yang patut kita pertahankan,’’ katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, beliau bersama wakil-wakil ngo yang terbabit meminta pucuk kepimpinan negara mengkaji semula hubungan diplomatik dengan kerajaan Myanmar kerana kezaliman mereka melancarkan operasi penghapusan bangsa etnik Rohingya yang sedang berjalan ketika ini.