SERI ISKANDAR – Lima orang pelajar sebuah universiti awam nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka terlanggar sebuah kereta lain di KM30, Jalan Ipoh-Lumut pada malam Selasa.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, kereta Perodua Myvi dinaiki lima pelajar tersebut dipercayai melanggar sebuah kereta Subaru di satu persimpangan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata dua daripada para pelajar, iaitu pemandu Mohamad Haziq Ismail, dan penumpang hadapan Nurazuani Asmadi, tidak mengalami kecederaan.

“Manakala tiga pelajar yang duduk di bahagian belakang iaitu Ikmal Hamdi Aminuddin mengalami retak pada tulang punggung, Nor Aisyah Syuhada Laungah, mengalami retak tulang jari dan Syed Ahmad Zulhilmi Syed Abd Zahid pula retak pada tulang belakang.

“Semua mereka berusia 19 tahun, merupakan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar dan dipercayai menghala ke Seri Iskandar dari Ipoh,” ujar beliau apabila dihubungi Suara Perak.

Menurut Mohamad Zainal, pemandu kereta yang dilanggar iaitu S. Thiargarajan, 33 yang berlamat di Taman Berpadu, Sitiawan, juga tidak mengalami kecederaan.

Kereta yang dipandu Thiargarajan dalam perjalanan dari Tronoh menghala ke Lumut di lorong kanan, sebelum bertukar ke lorong kiri.

Sebaik tiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba kereta Myvi yang dipandu oleh Mohd Haziq keluar dari simpang menyebabkan Thiargarajan gagal mengelak dan melanggar bahagian tepi sebelah kanan Myvi tersebut.

“Siasatan awal mendapati jalan tersebut merupakan sistem jalan satu hala dua lorong dan bersimpang dan terdapat garisan tengah bertanda di tengah jalan.

“Keadaan gelap namun berlampu dan keadaan jalan raya pada waktu itu kering,” tambah Mohamad Zainal.

Siasatan masih dilakukan dengan kedua-dua kenderaan yang terlibat masih di tempat kejadian dan polis telah merakam percakapan pemandu kereta Subaru.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.