CRISTIANO Ronaldo menamakan Mohamed Salah sebagai salah seorang pemain yang layak memenangi anugerah Ballon d’Or tahun ini.

Penyerang Juventus itu memenangi trofi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid tahun ini tetapi berdepan saingan sengit untuk memenangi trofi Ballon d’Or keenam dalam kariernya.

Ronaldo percaya Lionel Messi akan bergelut untuk tersenarai antara tiga pemain teratas.

Pemain berusia 33 tahun itu turut merasakan trio Perancis, Antoine Griezmann, Raphael Varane dan Kylian Mbappe berpotensi untuk merangkul anugerah tersebut buat pertama kalinya.

“Sudah tentu saya mahu menang, trofi keenam Ballon d’Or. Ia satu pembohongan jika memberitahu anda sebaliknya,” kata Ronaldo kepada France Football.

Ketika ditanya pencabar utamanya, Ronaldo berkata:”Sama seperti kebiasaannya, walaupun saya tidak tahu jika Messi akan naik podium pada kali ini.”

“Jadi, mari katakan Salah, Modric, Griezmann, Varane, Mbappe – trio Perancis secara umumnya kerana mereka adalah juara dunia.

“Namun saya perlu tunggu dan lihat jika semua pemain ini masih berada di puncak dalam tempoh 10 tahun, seperti Messi dan saya lakukan.

“Masih di sana, di podium, sejak lebih 10 tahun,” katanya. – Metro.co.uk