BARU-BARU ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, YB Yong Choo Kiong telah diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru.
Ada yang beranggapan bahawa lima portfolio itu mungkin sesuatu yang membebankan dan sukar untuk beliau memberi fokus.
Suara Perak menemui YB Paul Yong untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.
SOALAN: Terlebih dahulu tahniah di atas perlantikan. YB telah diberi kepercayaan untuk menerajui lima portfolio, tidakkah ia agak membebankan?
JAWAPAN: Saya terjerumus dalam politik lebih kurang 15 tahun, bermula dari akar umbi. Pada 2008, saya dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Exco Kanan, Datuk Ngeh Koo Ham di samping menjadi Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 2013, saya menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh dan menjadi ADUN selama lima tahun. Tahun ini, PRU-14 saya mempertahankan kerusi DUN Tronoh dan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Berdasarkan pengalaman yang dikumpul selama ini, tidak menjadi masalah untuk saya memegang lima portfolio itu kerana boleh dikatakan saya memahami perjalanan dan pengendalian sistem pentadbiran.
Sebenarnya, sebagai pemimpin, perkara yang paling penting ialah pengurusan, bukannya saya perlu buat sendiri semuanya. Berdasarkan pendidikan di dalam bidang pengurusan perniagaan, pengurusan sangat penting.
Misalnya, di dalam bidang perniagaan, tidak kira berapa jenis perniagaan yang kita buat, yang paling penting ialah pengurusan dan saya telah buktikan di dalam dunia perniagaan yang diceburi sebelum ini.
Saya percaya di dalam politik juga sama, yang penting, pengagihan masa untuk pentadbiran dan pengurusan adalah sangat penting.
Perumahan
SOALAN: Di bawah portfolio perumahan, apa tumpuan YB?
JAWAPAN: Ramai yang komplen harga rumah semakin meningkat, menjadi semakin mahal dan kita pernah bangkitkan perkara ini di dalam Dewan Undangan Negeri sejak beberapa tahun lalu.
Antara sebabnya ialah cukai yang terlalu banyak dan tinggi yang dikenakan kepada pemaju. Misalnya dalam dua tahun yang lepas, kita lihat ada cukai baru, seperti cukai kemajuan dan denda untuk melepaskan kouta Bumiputera sebanyak tujuh peratus.
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga menyebabkan harga bahan-bahan binaan meningkat dan ini semua perlu dibuat penyelarasan supaya harga rumah boleh dikurangkan.
Rumah mampu milik juga perlu dibanyakkan supaya lebih ramai rakyat dapat membeli rumah, ini adalah sangat penting.
Urusan PBT
SOALAN: Bagaimana pula dengan kerajaan tempatan?
JAWAPAN: Bagi memastikan pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjalan lancar, saya akan memanggil semua Yang Dipertua PBT bagi menjalankan proses pelantikan Ahli Majlis yang baharu dapat dijalankan dengan segera.
Kalau boleh, mulai 1 Jun hingga akhir bulan Jun, kita akan mendapatkan semua nama yang hendak dicalonkan sebagai Ahli Majlis. Selepas itu, kita akan umumkan secepat mungkin, supaya semuanya dapat diselesaikan segera.
Kali ini, kita tidak akan memberi kouta Ahli Majlis kepada badan bukan kerajaan, sebaliknya semua Ahli Majlis akan dilantik di kalangan ahli parti-parti politik.
Berdasarkan kepada pengalaman yang lepas (2008), yang yang mengadu bahawa pengagihan Ahli Majlis tidak cukup untuk parti-parti komponen. Di samping itu, apabila kita membuat lantikan di galangan NGO, didapati ramai di antara mereka yang mempunyai latar belakang politik dan ini membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli kita.
Pengangkutan Awam
SOALAN: Pengangkutan awam merupakan satu isu yang kritikal di Perak, khususnya di Ipoh. Apa yang YB mahu lakukan?
JAWAPAN: Pengangkutan awam di Perak belum mencapai tahap yang membanggakan. Misalnya, ramai penduduk di Ipoh khasnya dan seluruh warga Perak amnya, mereka seolah-olah sudah lupa adanya pengangkutan awam seperti bas dan sebagainya.
Hal ini berlaku kerana perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, tidak boleh memberikan perkhidmatan seperti yang diharapkan. Misalnya, bas selalunya sampai satu jam, kadang kala dua jam baru ada dan ada kalanya tidak sampai ke destinasi mereka. Ini menyebabkan mereka kecewa dan akhirnya lebih berminat untuk memandu kenderaan sendiri, seperti motosikal dan kereta.
Keadaan ini menyebabkan petak-petak parkir di pusat bandar tidak mencukupi sebab mereka tiada pilihan untuk menggunakan pengangkutan awam yang berkesan seperti di negara-negara maju.
Sehubungan itu, kita akan menyusun semula dan menaik taraf perkhidmatan bas yang sedia, kita perlu memperbanyakkan lagi bas, dengan kekerapan sekurang-kurangnya 15 minit atau setengah jam. Saya yakin, jika ini kita dapat laksanakan, lama kelamaan, orang akan yakin dan boleh mengharapkan kepada perkhidmatan bas.
Saya akan panggil semua pengusaha bas dan pengangkutan awam untuk mengkaji semula bagaimana kita boleh menaik taraf pengangkutan awam di negeri ini
Hal Ehwal Bukan Islam
SOALAN: Portfolio Hal Ehwal Bukan Islam pula?
JAWAPAN: Untuk membantu setiap agama selain daripada agama Islam, portfolio ini  mula diwujudkan pada 2008. Ia sedikit sebanyak bagi memastikan agama selain daripada Islam, juga boleh mendapat sedikit bantuan daripada kerajaan untuk mengadakan aktiviti dan pembangunan rumah-rumah ibadat.
Pada 2008, ia dimulakan dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM1 juta, kemudiannya ditingkatkan kepada RM3.5 juta sekarang. Saya harap kali ini kita akan naikkan lagi peruntukan kepada RM10 juta atau RM15 juta dalam masa lima tahun ini.
Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil agama untuk memupuk hubungan yang baik bagi melahirkan masyarakat harmoni.
Hak Milik Tanah
SOALAN: Pada 2008, isu yang menggegarkan Malaysia ialah status hak milik tanah 999 tahun di kampung baru, bagaimana sekarang?
JAWAPAN: Di Perak terdapat 134 buah kampung baru, malah saya sendiri berasal dari kampung baru dan saya faham mengapa pada 2008 kita memberi status pegangan kekal di kampung-kampung baru.
Sejak merdeka, kampung baru cuma diberi geran pegangan 30 tahun, selepas tamat tempuh itu, ia dinaikkan kepada 60 tahun. Walaupun diberi 60 tahun, mereka rasa kurang selamat kerana pihak bank biasanya sukar meluluskan pinjaman sekiranya mereka ingin membina rumah.
Atas rasa keinsafan, bagi memastikan warga kampung baru berasa selamat, kerajaan pada tahun 2008 memberitahu bahawa kita akan memberi hak milik kekal kepada mereka. Bagaimanapun, kita hanya sempat keluarkan lebih 100 keping geran hak milik kekal.
Saya rasa polisi ini perlu diteruskan dan sudah tiba masanya untuk kita tunaikan janji, termasuk juga di kampung tersusun, bukan kampung baru sahaja. Bagi taman-taman perumahan yang hak miliknya 99 tahun, kita akan semak juga. Kita akan lakukan perkara ini secara berperingkat-peringkat.