IPOH: Kerajaan Perak melalui Jabatan Pertanian telah merangka lima program teras dan beberapa sub-program di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk memperkasakan sektor pertanian di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamed berkata, lima program itu ialah:

Pembangunan tanaman makanan, florikultur dan komoditi berpotensi.
Pengembangan perkhidmatan pengembangan teknologi pertanian.
Pembangunan industri asas tani.
Pembangunan perkhidmatan sokongan teknikal.
Pembangunan kemudahan infra perkhidmatan perkembangan.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) semasa sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat.

Saarani berkata, bagi pengeluaran komoditi pertanian utama dalam tempoh lima tahun, bermula dari 2011 ke 2015, kadar pertumbuhannya menunjukkaan prestasi pengeluaran hasil yang baik.

Menurut beliau pada tahun 2011-2012, kadar pertumbuhan adalah sebanyak 6.5 peratus iaitu dari RM361.3 juta kepada RM396.8 juta.

“Pada tahun 2013, kadar pertumbuhan naik sehingga 113.1 peratus berbanding tahun 2012 iaitu dari 396.8 juta kepada RM841.7 juta.

“Untuk tahun 2014, kadar pertumbuhan menurun sedikit iaitu 7.2 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu penurunan sebanyak RM72 juta,” katanya.

Saarani berkata, pada tahun kelima, kadar pertumbuhan telah menunjukkan kenaikan 13.4 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu dari RM779.7 juta kepada RM1,025 juta.

Beliau memberitahu, data pertumbuhan itu diambil dari sistem Agrisgeoportal yang digunapakai oleh Jabatan Pertanian seluruh Malaysia.

“Kadar pertumbuhan bagi penghasilan tanaman makanan (pertanian) ini menggunakan nilai pengeluaran sebagai pengukur.’’ ujarnya.