LIMA remaja dan dua kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan merompak dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki Pakistan, bulan lalu.

Bagaimanapun, semua tertuduh iaitu Mohamad Zulkifar Zulkefli, 19, Mohamad Zulkarnain Rosli,18, dan lima lagi juvana yang berusia antara 12 hingga 15 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompak dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pekerja kontrak, Muhammad Abrar, 31.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jejantas LRT Sungai Besi di Kuala Lumpur, pada jam 11 malam pada 21 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala semua tertuduh merayu dikenakan jaminan yang rendah.

Mahkamah membenarkan empat pesalah juvana dan Mohamad Zulkarnain diikat jamin RM1,200.

Dua lagi seorang lagi juvana berusia 15 tahun dan Mohamad Zulkifar tidak diberi ikat jamin kerana tiada ahli keluarga yang hadir bagi menjamin mereka.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap Jumaat setiap minggu serta dilarang mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes – hmetro