SUNGAI SIPUT: Lima remaja termasuk seorang remaja lelaki bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini atas tuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu pemeriksaan polis, semalam.

Empat daripada mereka,
J Kalai Arasan, 18; C Logeswaran, 19; Tarama Rajih, 19; dan P Thivagar, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Kesemua mereka kemudiannya dijatuhi hukuman satu bulan penjara dan denda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar denda.

Bagaimanapun, tiada hukuman dikenakan ke atas seorang lagi rakan mereka berusia 17 tahun kerana mahkamah perlu menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan remaja berkenaan diikat jamin RM2,000 oleh seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka didapati telah berhimpun bagi tujuan sosial di kawasan tempat jangkitan di sebuah rumah di Taman Dovenby Sungai Siput (U) pada jam lebih kurang 8.30 malam, 29 Mac lalu.

Mengikut fakta kes, anggota polis yang membuat rondaan Op COVID-19 di kawasan itu telah memberi amaran agar kumpulan lelaki itu bersurai, namun mereka memberikan pelbagai alasan.

Selepas tiga kali amaran, mereka masih enggan beredar menyebabkan tangkapan dilakukan.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.