PERMAISURI: Lima sekeluarga termasuk seorang bayi nyaris maut selepas kediaman mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Kampung Bahagia, Bintang, dekat sini, tengahari semalam.

Kejadian jam 12.10 tengahari ketika Siti Zaida Mohd Zain sedang menyiapkan makan tengahari di dapur manakala bayinya, Nur Fathia Humaira, berusia setahun tiga bulan tidur dalam buaian di ruang tamu.

Anak sulungnya, Ahmad Fazrul Helmi, 4, pula bersama dua saudara mereka iaitu Siti Fatimah Maliki, 17, dan Muhammad Ikram Muslimin, 4, sedang menonton televisyen.

Siti Zaida, 24, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat dari bahagian atas rumah sebelum bergegas ke ruang tamu untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya terkejut melihat sebatang pokok getah tumbang dan jatuh di atas rumah sehingga menyebabkan beberapa keping atap pecah manakala dinding tercabut.

“Lebih mencemaskan apabila melihat buaian sudah terbalik dan tersandar ke arah dinding sementara badan anak tersembam pada dinding.

“Fathia mengalami sedikit luka pada bahagian dahi manakala Muhammad Ikram yang berada berhampiran luka pada belakang terkena serpihan atap berkenaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Siti Zaida berkata, Siti Fatimah dan Ahmad Fazrul tidak mengalami sebarang kecederaan namun masih trauma dengan peristiwa yang berlaku depan mata mereka.

Sementara itu, suami Siti Zaida, Muhamad Bukhari Malike, berkata dia mendapat berita mengenai kejadian itu ketika berada di Jertih, Besut, kira-kira jam 1 tengah hari selepas dihubungi ahli keluarga

Bukhari, 23, berkata, pokok yang tumbang itu sudah ditebang dan buat sementara waktu keluarga menumpang di rumah orang tuanya sehingga rumah mereka dibaikpulih semula.

Sementara ibunya, Mariam Abdul Rahman, 61, berkata, sehari sebelum kejadian mereka ada bercadang mahu menebang pokok itu tetapi tidak sempat berbuat demikian – berita harian