IPOH 1 Ogos – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun antara lima individu yang ditahan bersama dadah jenis heroin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM14,200 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pengkalan Maju, Simpang dekat Taiping semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata, remaja tersebut ditahan bersama dua abangnya, kakak ipar dan seorang rakan pada pukul 10.30 pagi.

Katanya, tangkapan terhadap kesemua suspek yang berusia antara 15 hingga 33 tahun itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis (IPD) Taiping.

“Pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah tersebut, menemukan satu paket plastik dadah dipercayai heroin seberat 460 gram yang bernilai RM13,800.

“Polis turut menjumpai lima paket plastik dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 3 gram yang bernilai RM450,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE