IPOH : Lima termasuk seorang pegawai dan empat anggota polis direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah RM3,000 untuk menyelesaikan kes dadah.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Kasyfurahman Abang Ahmad ke atas suspek susulan penahanan mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi (Jumaat).

Kesemua anggota polis berusia di antara 26 hingga 39 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ditahan sekitar sembilan malam semalam selepas disyaki meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM3,000 bagi dorongan menyelesaikan satu kes dadah.

Permohonan reman dibuat Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal manakala kes disiasat di bawah Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Berdasarkan siasatan awal, kelima-lima suspek berkenaan ditangkap dalam satu kes perangkap, dengan penerimaan wang rasuah bernilai RM3,000 daripada pengadu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan di atas satu kes dadah,” katanya.