LEMAK MANIS… temelong yang diperbuat daripada daun pisang membangkitkan keharuman kuih Limas.AROMA harum dari daun pisang yang dilayur sebelum dijadikan temelong kuih Limas memenuhi ruangan dapur di rumah Asmah Sulaiman, 58, seorang pengusaha kuih muih tradisional.

IMG_5384-minKetika kunjungan Suara Perak ke rumahnya di Kampung Lembah Jamuan, di sini, dia ditemani adiknya Hamsiah Sulaiman, 56, sedang khusyuk menyiapkan temelong iaitu bekas kuih Limas yang diperbuat dari daun pisang.

Menurut Asmah, ada yang panggil Limas, ada juga di beberapa negeri panggil Tepung Pelita dan ada di kalangan anak muda memanggil ia kuih Sampan.

“Walau apapun gelaran diberi namun rasa dan cara pembuatannya tetap sama, khususnya kuih ini sinonim dengan penggunaan daun pisang sebagai temelongnya,” ujar Asmah yang membahasakan dirinya sebagai makcik.

Guna Daun Pisang Abu Elak ‘Sampan’ Karam

Bagi mereka yang belum berkesempatan merasai keenakan manisan ini, ia diperbuat daripada adunan tepung gandum bersama santan dan daun pandan yang dikisar halus.

Menurut Asmah permintaan terhadap kuih Limas sangat menggalakkan terutama bulan Ramadan, ketika itu Limas seringkali menjadi pilihan ramai.

“Makcik gunakan daun pisang abu sebab ia lebih tebal dan tak mudah bocor apabila kita letak adunan tepung, bak kata orang kalau guna daun pisang lain nanti ‘sampan’ karam (adunan keluar dari temelong).

“Masukkan setengah adunan pandan dan setengah lagi santan kemudian kukus, kedua-duanya mesti seimbang untuk hasilkan Limas yang lemak manis.

“Tidak perlu masukkan pandan terlalu banyak kerana kuih akan rasa pahit,” ujar Asmah.

Ambil Tempahan Ikut KemampuanIMG_5504-min

Resipi kuih Limas ini dipelajari melalui arwah ibunya yang mahir membuat kuih muih tradisional, malah adiknya turut menghulurkan bantuan jika Asmah menerima tempahan dalam jumlah besar.

“Lazimnya makcik tidak jual kuih Limas di kedai atau bazar Ramadan disebabkan kekangan masa, kalau ada tempahan baru makcik buat.

“Bahan-bahan adunan memang ringkas tetapi ambil masa agak lama untuk siapkan temelong, lebih-lebih lagi kalau makcik buat seorang tanpa bantuan adik,” katanya yang juga penduduk asal Kampung Lembah Jamuan.

Jelasnya Limas juga seakan sama dengan kuih Tako, cuma daun pengalasnya sedikit berbeza.
“Kuih Tako guna daun pandan manakala Limas guna daun pisang,” katanya.

 

Perkenal Limas Melalui Program Anak Angkat

Ketua Kampung Seberang Karai, Mohd Hasan Ahmad, 59, pula memberitahu, permintaan terhadap kuih Limas semakin bertambah menerusi program anak angkat yang dijalankan di kampung itu.

“Boleh dikatakan banyak program anak angkat universiti di sini, para pelajar mula suka dengan kuih Limas dan bermula dari situ ia mula popular,” kata Mohd Hasan.

Jelasnya lagi, nama Lembah Jamuan diambil bersempena kawasan itu yang sering dijadikan lokasi majlis keraian dan jamuan suatu ketika dahulu.

“Kononnya ramai yang anjur jamuan di kampung ini dahulu, oleh itu lekat nama Kampung Lembah Jamuan sampai sekarang. Kampung ini juga merangkumi dua kampung lain iaitu Kampung Jamuan dan Seberang Karai,” katanya.

Bagi yang mengidamkan kuih muih dan hidangan tradisi seperti Rendang Tok dan kuih Limas, boleh membuat tempahan di talian 019-2865994 (Asmah) atau datang terus ke alamat 24, Kampung Lembah Jamuan, Kuala Kangsar.