IPOH: Hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan limpahan air di Kilometer 42, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sempadan Perak-Pahang selepas terowong sehingga mengakibatkan tembok batu penghadang air di laluan berkenaan runtuh.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 2.45 petang tadi itu menyebabkan kuantiti air yang banyak dan laju seperti air terjun turun dari kawasan tebing bukit dan melimpah di atas jalan mengakibatkan laluan di situ terhalang dan berlaku kesesakan di kedua-dua arah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali, berkata pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkenaan.

Katanya, pihaknya kemudian melakukan kerja-kerja pengalihan tembok batu penghadang air yang pecah dan bertaburan di atas jalan bagi membolehkan kenderaan melalui semula laluan itu.

Menurutnya, tembok batu setinggi kira-kira 10 meter itu runtuh berikutan arus deras yang turun dari atas bukit berikutan hujan lebat yang berlaku bermula jam 12 tengah hari.

“Sehingga kini (jam 6.20 petang) hanya satu sahaja laluan itu dibuka selepas bomba mengalihkan batu-batu yang bertaburan di atas jalan.

“Operasi pemantauan dan pembersihan bagi membolehkan satu lorong dapat dilalui kenderaan itu tamat jam 5.50 petang dan tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari ketika dihubungi NSTP berkata, pihak Syarikat Belati Wangsa (M) Sdn Bhd sudah ke lokasi berkenaan bagi membersihkan serpihan batu tembok yang pecah.