KUALA KANGSAR: Warden asrama yang didakwa meliwat dua pelajar dan mencabul tiga lagi pelajar di pusat tahfiz di Kangar, Perlis berjaya diberkas di sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, lelaki berumur 28 tahun itu diberkas di Maahad Tahfiz Adawamah Kampung Buaya Menora, dekat sini kira-kira 12.10 pagi.

Menurutnya, polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek.

“Soal siasat awal, suspek telah mengaku melakukan liwat dan gangguan seksual ke atas lima orang pelajar di sekolah Tahfiz Al-Quaran Ar-Raudhah Behor Mali, Simpang Empat, Perlis,” katanya di sini.

Pada Khamis, Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, dua pelajar tahfiz lelaki didakwa diliwat, manakala tiga lagi mendakwa dicabul warden asrama tempat mereka menginap di sebuah pusat tahfiz di Kangar, sepanjang April lalu.

Katanya, seorang guru di pusat tahfiz berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat selepas seorang daripada mangsa mengadu kepadanya.

Menurutnya, kesemua mangsa yang berusia antara sembilan hingga 15 tahun itu juga dipaksa melakukan seks oral kepada warden lelaki berkenaan berulang kali selain memaksa untuk menonton video lucah bersama di bilik lelaki itu.

Razali berkata, suspek yang berasal dari Kedah itu telah diserahkan kepada pihak polis Kangar untuk tindakan lanjut.