LUMUT – Bekalan ikan seluruh negara dijamin mencukupi bagi menampung keperluan pengguna ketika perayaan Aidilfitri yang bakal disambut minggu hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Raja Kahalid Raja Ariffin berkata, bagi memastikan bekalan ikan mencukupi sempena musim perayaan pihaknya telah melaksanakan beberapa langkah awal.

“Pihak LKIM sentiasa cuba memastikan bekalan ikan di musim perayaan mencukupi dan kalau ada kekurangan bekalan kita sudah ada logistik bekalan ikan dari Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Kuala Kedah dan Persatuan Nelayan Besut.

“Di samping itu, pada musim perayaan ini kita akan menyekat pengeksportan ikan-ikan rakyat yang menjadi pilihan utama pengguna seperti ikan kembung, selar, cencaru, keli dan tilapia,” katanya selepas hadir pada majlis ramah mesra dan iftar Ramadan bersama nelayan Manjung di Pejabat LKIM, di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis yang meraikan anak-anak yatim serta penyampaian sumbangan hari raya adalah Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamhari.

Menurut Raja Khalid, pihak LKIM juga mendapat bekalan ikan import dari negara luar seperti India dan Thailand dalam memastikan bekalan mencukupi sepanjang musim perayaan ini.

Ditanya sama ada pihak LKIM menerima aduan kekurangan bekalan ikan di mana-mana kawasan, Raja Khalid berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa aduan daripada pengguna.

“Pengguna tidak perlu khuatir dengan masalah bekalan ikan pada musim perayaan ini dan sekiranya ada mereka perlu melaporkan kepada pihak LKIM supaya memudahkan kita mengambil tindakan susulan.

“Kadang kala masalah bekalan ikan itu berpunca daripada manipulasi para peniaga yang bertindak menyorokkan bekalan ikan sedia ada,” katanya.

Terdahulu Raja Khalid bersama Abdul Yunus menyerahkan kit ramadan serta bubur lambuk daripada pihak LKIM kepada pasukan keselamatan yang mengawal perairan iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) d Lumut – sinar harian