Oleh: Noor Aida Abd. Aziz

KUALA KANGSAR: Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Perhubungan (LKPIM) Negeri Perak mula mengagih-agihkan sumbangan bagi menyemarakkan pelaksanaan program Ihya Ramadan 2017 kepada 19 LKPIM di peringkat daerah dan cawangan.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusinya, Datin Seri Saripah Zulkifli dan satu majlis yang diadakan sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Kuala Kangsar, baru-baru ini.

IMG_5076

Sumbangan itu seterusnya akan disalurkan kepada kumpulan sasaran atau golongan masyarakat yang memerlukan bantuan, menerusi Jawatankuasa LKPIM di daerah dan cawangan masing-masing.

Ketika ditemui, Saripah menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Anak Kuale yang sudi menjadi rakan kerjasama LKPIM dalam membantu golongan keterbawahan.

“Setiap kali menjelang Ramadan, LKPIM di peringkat negeri akan menghulurkan sumbangan kepada LKPIM daerah dan cawangan, supaya mereka dapat melaksanakan aktiviti bermanfaat di bulan Ramadan,” katanya.

Hadir sama pada majlis penyampaian itu ialah Pengerusi LKPIM daerah Kuala Kangsar, Datin Robaiah Mohd Adnan serta ahli LKPIM di seluruh Perak.

Dalam pada itu, Saripah menyarankan supaya lebih banyak pihak tampil untuk menghulurkan dana atau sumbangan kepada lembaga itu.

“LKPIM merupakan NGO dan tidak mempunyai dana kukuh, kita mengharapkan ihsan para dermawan untuk memberi sumbangan supaya lebih banyak golongan keterbawahan dapat dibantu,” katanya.