IPOH: Kumpulan muzik yang popular di kalangan anak-anak muda kaum India, Lock Up akan memeriahkan Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Buntong, di sini pada Sabtu ini.

Penasihat kepada Menteri Besar, Datuk V. Elango berkata, selain kumpulan itu, beberapa persembahan pentas juga akan diadakan yang melibatkan lebih 50 artis dari dalam dan luar Perak.

 “Kita menjemput rakyat jelata, khususnya dari kawasan sekitar Buntong dan Lembah Kinta untuk datang beramai-ramai memeriahkan sambutan kali ini,” katanya pada sidang media di RTM di sini pada Khamis.

Elango berkata, di samping jamuan rakyat yang disediakan oleh 40 gerai makanan, pelbagai acara telah disusun di salam sambutan yang bermula jam 7 malam itu, antaranya cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah seperti motosikal, komputer riba dan telefon bimbit.

Beliau berharap rakyat berbilang kaum dapat datang awal untuk mengelakkan sebarang kesesakan dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa polis, Rela dan Majlis Bandaraya Ipoh.

“Di samping menyambut Deepavali, tujuan kita menganjurkan sambutan ini juga ialah untuk memupuk dan mengeratkan lagi perpaduan kaum di negeri,” katanya sambil memberitahu, seperti tahun-tahun lalu, kehadiran sambutan dijangka sekitar 5,000 orang.