Subscribe Now

Trending News

Logo Tabung Haji Dilancarkan Di Madinah
Nasional

Logo Tabung Haji Dilancarkan Di Madinah 

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan majlis pelancaran logo Tabung Haji untuk empat bangunan penginapan jemaah Malaysia di Madinah.

Peletakan logo berkenaan adalah lanjutan daripada perjanjian pajakan hotel dengan syarikat Al-Rawda Investment For Real Estate Development & Project Ma­nagement Ltd. (Al-Rawda) untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam ucapannya ketika majlis pelancaran itu menjelaskan perjanjian pajakan jangka panjang berkenaan bakal memberi kesan positif kepada organisasi itu kerana mampu membendung kenaikan kos penginapan daripada terus meningkat setiap tahun.

“Sejak penubuhannya lima dekad lalu, Tabung Haji telah berjaya memenuhi objektif dan menjaga kebajikan para jemaah haji dalam urusan menunaikan rukun Islam kelima,” kata beliau.

Selain Abdul Azeez, yang turut hadir dalam majlis pelancaran itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah serta Pengerusi Al-Rawda, Dr. Mashhoor Ali Al Madodi.

Dalam pada itu, Tabung Haji dalam kenyataannya memberitahu, peletakan logo itu juga akan memberi pendedahan jenama mereka kepada masyarakat antarabangsa yang mengenai Tabung Haji sebagai sebuah organisasi terbaik dalam pengurusan ibadah haji.

“Logo Tabung Haji yang dipaparkan di bangunan penginapan jemaah haji juga akan menjadi pengenalan dan memudahkan jemaah haji semasa menginap di hotel-hotel tersebut sepanjang musim haji,” jelasnya.

Menurut Tabung Haji, Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja ke Madinah turut meluangkan masa melawat bilik-bilik jemaah haji yang bakal digunakan untuk musim haji tahun ini.

“Beliau berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang bakal disediakan Tabung Haji kepada bakal jemaah haji negara,” ujarnya.

-Utusan Online

Related posts