IPOH – Polis telah mengenal pasti kedudukan seorang anggota IS rakyat Malaysia yang mengancam untuk mengebom negara ini dan Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata,  polis Malaysia dengan kerjasama agensi perisikan antarabangsa sedang memantau pergerakan anggota IS terbabit.

“Polis sentiasa memantau setiap kata bual dalam media sosial termasuk apa yang dimuat naik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pembangunan negeri Perak di bilik gerakan Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Isnin.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas video terbaharu seorang anggota IS rakyat Malaysia yang membakar pasport negara ini dan mengancam untuk mengebom Malaysia dan Indonesia.