KAMPAR – Kerajaan negeri sudah mengenal pasti tiga lokasi bagi cadangan pembinaan Hospital Kampar baharu menggantikan hospital sedia ada yang tidak mampu menampung pertambahan pesakit.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri Perak, A Sivanesan berkata, tiga tapak baharu itu dikenal pasti selepas cadangan pembinaan hospital baharu di sebuah tapak sebelum ini dibatalkan kerajaan persekutuan.

“Sebelum ini tapak yang dicadangkan untuk pembinaan hospital baharu di daerah ini adalah di satu kawasan bekas lombong seluas 100 ekar namun kerana komposisinya 60 peratus air dan 40 peratus tanah ia telah dibatalkan.

“Ini kerana kerajaan mengambil kira keperluan peruntukkan yang tinggi bawa kos rawatan tanah dan ADUN Keranji, Chong Zhemin telah memaklumkan kepada kita tiga lokasi baharu sekitar 10 kilometer dari hospital sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Kampar, di sini, hari ini.

Menurut Sivanesan, beliau akan mempengerusikan satu mesyuarat jawatankuasa bertindak kesihatan negeri dalam tempoh tiga minggu akan datang bagi membincangkan soal pemilihan lokasi bagi tapak hospital baharu tersebut.

“Kita akan meminta nasihat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai kesesuaian lokasi dan apabila semua ini sudah dijalankan saya bersama-sama pengarah kesihatan Perak dan pengarah Hospital Kampar akan berjumpa dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Ia akan dilakukan segera memandangkan hospital ini hanya mempunyai 68 katil melibatkan empat wad sahaja sedangkan penduduk di daerah serta kawasan berhampiran dianggarkan melebihi 250,000 orang,” katanya.

Sementara itu, Zhemin yang turut hadir berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan wang bagi membina Hospital Kampar baharu sebaliknya berhadapan dengan masalah tapak pembinaan.

“Sejak PRU lalu saya telah tulis surat kepada Kementerian Kewangan (MOA) agar peruntukkan dapat dimasukkan ke dalam Bajet 2019 namun Ogos lalu saya terima maklum balas projek dibatalkan kerana tapak diberikan tidak sesuai.

“Saya sekali lagi menulis surat pada Oktober kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kampar dengan memberikan tiga cadangan tapak pembinaan hospital baharu selain mengemukakan salinan kepada Kerajaan Negeri Perak serta Menteri Kesihatan,” katanya.

Tambahnya, dia kemudian menerima maklum balas daripada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kesihatan 24 Januari lalu dan memaklumkan Kementerian Kesihatan masih mengkaji kesesuaian tapak yang dikemukakan – sinar harian