PUCHONG: “Tempat ini (lombong) memang menjadi tumpuan kaki pancing berhampiran daerah ini kerana banyak ikan,” kata seorang penduduk di Taman Putra Perdana, di sini, Muhammad Hafiz Ahmad Sabree, 25.

Beliau yang juga peniaga berkata, antara jenis ikan diperoleh pemancing adalah ikan toman dan talapia yang boleh mencecah saiz sebesar tangan manusia.

“Orang ramai yang datang ke sini bukan saja memancing, sebaliknya turut bermandi-manda terutama golongan remaja dan kanak-kanak.

“Ketika hari tidak hujan, air hanya pada paras kira-kira satu meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Taman Putra Perdana, Mohd Zaidi Amin, 36, berkata, ada juga dakwaan daripada kaki pancing bahawa lokasi itu agak ‘keras’.

“Dakwaan itu diketahui oleh semua kaki pancing yang kerap ke lokasi berkenaan, malah ada pemancing yang mendakwa melihat lembaga hitam pada waktu senja.

“Kawasan ini dikenali sebagai pintu air D’Islands dalam kalangan penduduk tempatan dan pada hari kejadian (semalam), ada penduduk yang berada di lokasi mendakwa melihat kelibat lembaga berkenaan di kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambah beliau, jalan belakang yang digunakan mangsa bersama rakannya adalah laluan biasa digunakan kaki pancing lain.

“Laluan itu bermula dari dalam Taman Putra Perdana. Di penghujung laluan itu, terdapat satu denai kecil yang perlu melalui kawasan dipenuhi pokok petai belalang.

“Selepas kawasan denai itu anda akan terus menemui pintu air D’Islands (lombong) berkenaan.

“Dalam kes terdahulu membabitkan dua lelaki tempatan, operasi menyelamat hanya mengambil masa enam jam tapi kali ini, pasukan penyelamat berdepan kesukaran melakukan operasi,” katanya yang juga seorang juruteknik swasta.

NSTP melaporkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ditemui lemas ketika melakukan operasi SAR seorang remaja lelaki, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, ditemui lemas ketika operasi kira-kira jam 9 malam tadi – berita harian