SUNGAI PETANI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas 1.2 juta batang rokok seludup pelbagai jenama membabitkan nilai rampasan dan cukai sebanyak RM747, 936 selepas berjaya memintas sebuah lori di Taman Sri Wang, di sini.

Pengarah JKDM Kedah, Datuk Johari Alifiah, berkata sepasukan penguat kuasa JKDM Sungai Petani mengekori sebuah lori pada jam 3 petang Khamis lalu selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, pasukan berkenaan menahan lori terbabit di hadapan deretan rumah kedai di pasar Taman Sri Wang dan hasil pemeriksaan pihaknya menemui puluhan guni mengandungi sejumlah rokok pelbagai jenama disyaki diseludup disimpan dalam lori itu.

“Pihak kami merampas 1.2 juta batang rokok pelbagai jenama dalam serbuan itu dengan nilai rampasan berjumlah RM168,000 dan anggaran nilai cukai sebanyak RM579,936.00.

“Semua rokok dan kenderaan terbabit disita, manakala pemandunya iaitu seorang lelaki berusia 50-an ditahan untuk siasatan,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Sungai Petani, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Kastam Sungai Petani, Shukri Jusoh.

Johari berkata, pemandu itu yang ditahan reman 14 hari disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai cukai kastam atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali – berita┬áharian