IPOH – Sebuah lori milik Fama yang dilaporkan hilang ketika diletakkan di tempat meletak kenderaan sebuah hotel di Ipoh, semalam ditemui semula di Senawang, Negeri Sembilan.

Lori membawa barang pameran sempena penganjuran program Fruit, Flower and Food Fiesta 2018 yang berlangsung pada 26 hingga 30 Julai lalu itu, disedari hilang sekitar jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, lori muatan peralatan dapur terbabit dikesan ditinggalkan di deretan kedai berhampiran Sungai Gadut dalam keadaan pintu tidak berkunci, sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, pasukan MPV polis yang menjalankan rondaan menghampiri kenderaan itu kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Selain pintu tidak berkunci, tempat penghidup enjin juga didapati rosak, pemeriksaan juga mendapati nombor pendaftaran digunakan palsu.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas nombor casis adalah sepadan dengan sebuah lori yang dilaporkan hilang, semalam,” katanya.

Beliau berkata, penemuan lori itu telah dimaklumkan kepada pengadu dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar terutup (CCTV), kelihatan dua kelibat lelaki telah melarikan kenderaan itu dari kawasan parkir hotel berkenaan.

“Wajah kedua-dua suspek tidak jelas kerana keadaan CCTV yang kabur dan kurang pencahayaan, pemeriksaan kedudukan lori menggunakan kemudahan GPS juga tidak berjaya apabila peranti berkenaan dimatikan,” katanya.