KUALA KANGSAR: Satu lagi kejadian kemalangan berlaku berhampiran Terowong Menora pada Jumaat apabila sebuah lori ikan terbabas dan merentangi laluan utama Lebuhraya Utara Selatan itu.

Menurut laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia, insiden yang berlaku sekitar 7.30 malam itu berlaku berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R & R) Sungai Perak arah utara dan menyebabkan kesesakan yang teruk.

Malah, kemalangan itu turut menyebabkan pengguna lalu lintas ke arah Selatan lebuhraya tersebut terperangkap dalam kesesakan selama lebih empat jam.

Malah, jurucakap PLUS dalam laman Twitter mengesahkan bahawa setakat pukul 12.30 tengah malam, kemalangan tersebut masih menyebabkan semua lorong terhalang dan trafik juga sesak sepanjang 11 kilometer dari arah Selatan dan 10 kilometer dari arah Utara.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Pegawai Bomba Kanan II Khamis Harun berkata tiada mangsa mengalami kecederaan.

“Pemandu lori membawa muatan ikan itu berjaya keluar sendiri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan Bomba yang menerima panggilan sekitar 7.40 petang melakukan pemantauan di tempat kejadian buat masa ini,”katanya dalam sebuah kenyataan media.

Kesesakan sama juga telah berlaku di sebelah pagi di kawasan terowong Menora tapabila sebuah lori kontena terbakar di kilometer 257 arah utara pada 8.30 pagi Jumaat.

Insiden itu telah menyebabkan pengguna yang menuju ke destinasi Utara terperangkap dalam kesesakan sepanjang 5 kilometer.