JERTIH: Seorang pemandu lori tangki minyak terselamat apabila lori yang membawa muatan diesel terbalik di Kampung Anak Ikan, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang apabila lori yang membawa 27,300 liter diesel itu terbalik ketika pemandunya, Rosla Ibrahim, 45, memasuki kawasan parkir di hadapan Masjid Anak Ikan, Jabi.

Bagaimanapun, Rosla yang sempat menyelamatkan diri tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang, membawa muatan minyak untuk dihantar ke sebuah stesen minyak di bandar ini.

Bagaimanapun katanya, dia yang memandu lori berkenaan untuk berhenti rehat di kawasan parkir, sebelum tiba-tiba keadaan lori senget dipercayai tidak seimbang lalu terbalik.

Berikutan kejadian itu, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih dan Kampung Raja di sini, dengan kekuatan 17 anggota tiba di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Ketua Balai Bomba Jertih, Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya terpaksa menggunakan semburan buih untuk menghalang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, 10 tong buih disediakan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang membabitkan keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, pihak pengurusan syarikat minyak turut berusaha memindahkan minyak dari tangki lori terbabit yang dipercayai berlaku kebocoran.

Katanya, kejadian itu tidak menghalang lalu lintas kerana lori berkenaan sudah memasuki kawasan parkir terletak kira-kira 50 meter dari laluan utama Kuala Terengganu- Kota Bharu, Kelantan.

Sehingga jam 11 malam ini kerja mengangkat lori terbabit menggunakan kren masih dijalankan dengan pemantauan pihak bomba.