Meru: “Berderau darah saya melihat lori muatan berat berlumba tanpa menghiraukan keselamatan pelajar sekolah dan pengguna jalan raya lain,” kata penduduk pekan Meru, Ruhaida Mohd Said, 47.

Menurutnya, kebimbangan itu dirasai semua penduduk apatah lagi ia membabitkan isu keselamatan kanak-kanak.

“Ada empat sekolah berhampiran jalan utama di Jalan Kenangan dan Persiaran Hamzah Alang di sini, yang kerap menjadi laluan utama lori tanah.

“Segelintir pemandu lori itu memandu laju dan langsung tidak menghiraukan pelajar yang melintas jalan.

“Mereka (pemandu) tahu ada sekolah di kiri dan kanan, namun masih selamba memandu laju. Lebih teruk apabila mereka tidak memperlahankan lori jika ada pelajar melintas,” katanya.

Seorang penduduk, Muhammad Falieq Hasan, 21, berkata dia nyaris dihimpit lori membawa muatan tanah ketika mengambil adiknya di sekolah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Meru, Khairil Anuar Rosman, 51, berkata, pihaknya sudah mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa dan tindakan serta operasi juga sudah dilaksanakan.

“Namun, sejak beberapa bulan lalu, pemandu lori itu makin rancak memandu laju dan menggunakan laluan di kawasan kampung,” katanya.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat memantau lori itu secara berterusan kerana ia turut menyebabkan kesesakan,” katanya yang memaklumkan lori bermuatan pasir, tanah dan kontena itu kebanyakannya dilihat antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

hmetro.com.my