SLIM RIVER – Sebuah lori membawa muatan simen musnah terbakar 50 peratus di KM 376.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Neger Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.56 pagi dan menghantar sepasukan anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati sebuah lori simen sedang dijilat api. Kebakaran berlaku di bahagian tayar dan kepala lori.

“Peratusan kemusnahan adalah sebanyak 50 peratus,” ujar beliau ketika dihubungi.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Saijul Malik membuat kerja pemadaman menggunakan dua alira hose reel sehingga api berjaya dipadamkan.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dibantu oleh BBP Tanjung Malim.

Kebakaran itu tidak melibatkan mangsa dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.40 pagi.