GERIK 28 Jun – Sebuah lori tangki membawa minyak kelapa sawit terbabas dan menghalang laluan dari arah Jeli ke Gerik di Kilometer 48, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, petang ini.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 3 petang di laluan selekoh menuruni bukit itu turut menyebabkan tumpahan minyak di atas jalan.

Bagaimanapun, pemandu lori tangki berusia 48 tahun dilaporkan hanya cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ahmad Adnan Basri berkata, lori tangki itu terbabas kerana tayar kenderaan tersebut pecah menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Pihak Belati Wangsa dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan dan akan mengambil tindakan susulan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE