GEORGETOWN: Laluan Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau mengalami kesesakan teruk berikutan kejadian sebuah lori terbabas dan melanggar tembok jambatan di sini, awal pagi ini.

Kejadian dilaporkan kira jam 3.30 pagi, namun kelewatan kerja mengalih kenderaan berat itu menyebabkan kesesakan teruk pada waktu puncak pagi.

Pengguna mendakwa mengalami kelewatan akibat kesesakan sehingga beberapa kilometer dengan gambar kejadian memenuhi laman sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kesesakan pada jam 7.20 pagi oleh pengguna yang terperangkap dalam kesesakan trafik.

Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu lori berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar tembok penahan di Kilometer 1 (KM1) jambatan dan menghalang sebahagian laluan berkenaan.

“Pemandu lori berkenaan cedera ringan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi mendapatkan rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, kerja mengalihkan lori dan pembersihan di lokasi sudah selesai dilakukan dengan trafik semakin lancar di laluan berkenaan – berita harian