SEREMBAN: Seorang pemandu lori membawa muatan batu, tersepit selepas kenderaan dipandu terbabas ke landasan kereta api di Stesen Komuter Batang Benar, dekat sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu menyebabkan Muhamad Zaidi Rusli, 31, cedera di kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bakarya Mohd Salleh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.39 pagi.

Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera, van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pacuan empat roda.

“Sebaik saja tiba, kami mendapati mangsa dalam keadaan tersepit di tempat duduk pemandu di tengah landasan kereta api, manakala batu bertaburan.

“Bomba kemudian mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bakarya berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, lori 10 tan itu baru keluar dari kuari yang terletak bertentangan dengan stesen komuter itu dan dipercayai terbabas lalu masuk ke landasan kereta api – Berita harian