PARIT BUNTAR: Lebih 200 kilogram ikan siakap beku bertaburan di jalan raya selepas lori yang membawa muatan ikan itu terbabas dan terbalik di Jalan Bagan Tiang, Tanjung Piandang di sini hari ini.

Kejadian itu turut mengakibatkan pemandu lori berusia 42 tahun cedera akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Penolong Bomba Kanan II Shahrul Nizam Murad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.58 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati pemandu tersepit di tempat duduk pemandu.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam lori itu menggunakan peralatan khas.

“Sejurus dikeluarkan, mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh petugas bomba sebelum dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Shahrul Nizam berkata, pihaknya difahamkan kenderaan yang dipandu mangsa terbabas dan melanggar pintu kunci air di kawasan terusan sawah padi, mengakibatkan muatan ikan siakap yang dibawa bertaburan di atas jalan raya.

Beliau berkata, operasi berkenaan tamat sepenuhnya jam 10.35 pagi.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian membantu mengutip ikan yang bertaburan itu dan dimasukkan semula ke dalam tong ikan milik majikan mangsa – berita harian