Oleh: Aida Aziz

IPOH: Kegagalan menyelamatkan seorang bayi daripada penyakit kritikal di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) beberapa bulan lalu, membuatkan anak kelahiran Kampung Batu Kurau, Louis Sebastian tampil mengumpul dana bagi membantu mengurangkan beban pesakit pediatrik.

Ketua Pegawai Eksekutif itu menjadikan penganjuran International Ipoh Fashion Week (IIFW) pada Oktober lalu sebagai platform baginya untuk mengumpul dana berjumlah RM50,000 yang diperlukan bagi membeli peralatan hospital yang kemudiannya diserahkan kepada Wad Pediatrik HRPB.

e331898a-d155-4e5f-acb3-5e6489e603e6“Beberapa bulan lepas, saya ke hospital ini untuk bertemu Datuk Dr. Amar Singh selaku Ketua Jabatan Pediatrik. Saya juga berpeluang melihat sendiri bagaimana dia dan pasukan perubatan mengendalikan kes kecemasan melibatkan bayi.

“Menyedihkan apabila bayi yang baru beberapa minit saya jumpa tidak dapat diselamatkan. Peristiwa itu menguatkan azam saya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya ketika ditemui di Pusat Rawatan Harian HRPB di sini, hari ini.

Sebelum itu, Louis menyampaikan sumbangan peralatan hospital kepada Dr. Amar. Antara peralatan yang disumbangkan kepada pihak HRPB ialah satu unit Patient Monitor, dua unit Perfusor Compact dan dua unit Infusomat Space.

Semua peralatan itu disumbangkan untuk kegunaan pesakit pediatrik, iaitu pesakit dalam satu cabang bidang perubatan yang khusus untuk kumpulan dalam julat umur kanak-kanak, bermula daripada bayi sehingga remaja berumur 18 tahun.

Tambah Louis, beliau berasa bertanggungjawab untuk menyampaikan sumbangan tersebut bagi memperbetulkan tanggapan bahawa hospital kerajaan tidak memerlukan sebarang bantuan kerana sudah menerima subsidi.

8185afb1-6f27-4116-8176-de0ed772296c“Sewaktu membuat penggambaran tentang kanak-kanak di Unit Kanser bagi tujuan mengumpul dana, ramai yang ragu-ragu sama ada ia benar atau sebaliknya.

“Perkara itu menyedihkan saya kerana tindakan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab sebelum ini menyebabkan masyarakat ragu-ragu untuk mempercayai usaha kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Louis berkata, IIFW yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini merupakan usahanya sebagai pengasas IIFW dalam mengembangkan industri fesyen di Perak.