IPOH: Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang berkuatkuasa Oktober tahun lalu, bukan untuk bersaing dengan pemaju perumahan swasta, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sebaliknya, kata Dr Zambry, ia bertujuan sebagai koordinator bagi memastikan dasar-dasar yang berkaitan dengan perumahan di neger Perak dapat dilaksanakan dan mencapai matlamatnya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pemaju swasta supaya tampil bekerjasama dengan kerajaan bagi memenuhi hasrat dan dasar perumahan itu.

“Kita bukan nak jadi pesaing kepada mereka…tidak, kita mahu memastikan supaya rakyat daripada pelbagai peringkat dapat memiliki rumah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Projek Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) Elemen @ 18 di Pengkalan dekat sini pada Jumaat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim.

Dr Zambry berkata, LPHP akan bertanggungjawab terhadap semua proses dan juga perancangan untuk pembinaan rumah.

Selain itu, tambah beliau, ia juga akan turut membangunkan projek perumahan, sebagaimana amalan yang telah dilaksanakan melalui Jabatan Perumahan Awam Negeri Perak sebelum ini.

“Sebelum ini kita mendapat peruntukan tertentu daripada kerajaan Persekutuan ataupun beberapa peruntukan yang disediakan oleh pihak kerajaan negeri dan ianya dilakukan oleh Jabatan Perumahan Awam,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, selepas LPHP diwujudkan, segala-galanya akan dirancang melalui lembaga berkenaan, yang mempunyai kuasa lebih besar, berbanding Jabatan Perumahan Awam sebelum ini.

“Kita tidak lagi menanti peruntukan daripada kerajaan Persekutuan semata-mata tetapi pihak Lembaga Perumahan turut merancang bagaimana untuk menyediakan lebih banyak rumah, demi kepentingan rakyat,” katanya.

Dr Zambry memberitahu, LPHP mensasarkan untuk membina sekurang-kurangnya 1,200 unit rumah mampu milik tahun ini.

2eb717fe-759a-416f-b1e4-849c568883cd

ef6b7032-1733-4fc1-8129-c6c4a08bd863

31e45cf2-8554-4a6f-b0f1-57fd07bf70f2