BAGAN DATUK – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memberi kebenaran kepada pengusaha tanaman kelapa untuk membeli benih anak kelapa dari negara luar ekoran bekalan yang ada di Jabatan Pertanian tidak mencukupi.

Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman berkata, benih anak kelapa berkenaan perlulah dibeli dari Indonesia serta mendapat kelulusan daripada Jabatan Pertanian bagi mengelakkan pengusaha ditipu dengan benih tiruan.

“Di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) meletakkan kelapa sebagai salah satu sumber kekayaan baharu dan semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 kita menerima respon luar biasa terhadap minat pengunjung menanam kelapa.

“Isunya adalah apabila LPP berhubung dengan Jabatan Pertanian dan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) kita mendapati ada kesukaran untuk mendapatkan benih anak kelapa tempatan,” katanya kepada Sinar Harian pada program Lawatan Projek Pemulihan Kelapa Matag, Daerah Bagan Datuk, di Kampung Sungai Balai Darat, di sini, hari ini.

Tambahnya, ekoran daripada itu, satu keputusan telah dibuat di mana sekiranya pengusaha tanaman kelapa menghadapi masalah ketiadaan benih anak kelapa untuk ditanam mereka diizinkan untuk mendapatkan bekalan dari Indonesia.

“Kita izinkan bekalan anak benih dari Indonesia dibawa masuk berasaskan kepada permintaan. Antara permintaan yang tinggi adalah kelapa pandan dan diikuti kelapa matag bagaimanapun bekalan kelapa matag masih ada tetapi tidak mencukupi namun kelapa pandan agak kritikal.

“Bagi mereka yang berhasrat untuk membeli benih anak kelapa dari negara luar, perlulah merujuk kepada Jabatan Pertanian terlebih dahulu memandangkan terdapat isu benih kepala tiruan di pasaran,” katanya.

Menurut Mazlan, berdasarkan statistik yang diperolehnya daripada MOA negara ini mengimport sekurang-kurangnya 200 juta biji kelapa setahun dari negara luar bagi memenuhi permintaan tempatan – sinar harian