KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menanggung kos tinggi jika membuka tender baharu untuk melantik Rakan Pelaksana Projek (PDP) berbeza bagi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata apa yang menghairankan ialah tindakan kerajaan terdahulu meneruskan projek berkenaan walaupun menyedari kos akhir melonjak RM9 bilion menjadi RM31.65 bilion berbanding kos asal.

“Itu menunjukkan bahawa kalau sekiranya itu kegagalan dari pihak PDP, namun mengapa kerajaan terdahulu meluluskan jaminan tambahan diminta Prasarana Malaysia pada Mac lalu.

“Oleh itu, kita hanya boleh mengkaji semula projek ini dan mengurangkan kosnya, tiada pilihan lain. Jika batalkan projek, kita perlu membayar pampasan RM4.2 bilion dan kita benar-benar memerlukan projek LRT3,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican (BN-UMNO Kepala Batas) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Reezal Merican bertanya sama ada kerajaan akan membuka semula tender projek terbabit.

Guan Eng berkata, penjimatan kos projek berkenaan tidak akan menjejaskan kualiti perkhidmatan LRT apabila siap sepenuhnya.

“Mengikut skop asal, pembinaan stesen LRT adalah seperti stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan ini hanya menyebabkan pembaziran.

“Pengurangan kos tidak semestinya menjejaskan kualiti asalkan mengikut piawaian ditetapkan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-UMNO Pasir Salak).

Tajuddin membangkitkan soalan berhubung penjimatan kos projek adalah disebabkan pengurangan pembelian koc tren dan pembatalan pembinaan lima stesen serta terowong.

Kabinet meluluskan penyambungan projek LRT3 dengan kos dimuktamadkan pada RM16.63 bilion.

Guan Eng berkata, kos LRT3 bagi Lembah Klang dikurangkan 47 peratus daripada RM31.65 bilion, sekali gus dapat menjimatkan RM15.02 bilion.

Katanya, laluan sepanjang 37 kilometer itu akan mengurangkan masalah kesesakan di kawasan utama dan padat penduduk dari Klang ke Petaling Jaya.

Sementara itu, butiran terperinci kontrak dikaji semula itu akan didedahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam tempoh terdekat.

Pegawai Khas Menteri Kewangan, Tony Pua berkata, MRCB turut diberi masa membincangkan kajian itu dengan subkontraktor masing-masing.

“Kerajaan terpaksa membayar pampasan kerana kerja asas dan kontrak sudah dianugerahkan kerajaan terdahulu.

“Cara terbaik untuk meneruskan projek ini ialah mengurangkan kos seperti diputuskan Kabinet,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini – berita harian