KUALA LUMPUR : Adun Gadek, G Saminathan telah menghantar surat representasi kepada Peguam Negara berhubung isu-isu perlembagaan, melibatkan usahanya untuk diikat jamin selepas ditahan di bawah undang-undang keselamatan ekoran dikaitkan dengan kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguamnya Ramkarpal Singh hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa surat representasi itu telah dihantar pada Isnin minggu ini.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk pendengaran permohonan Saminathan untuk diikat jamin yang melibatkan isu-isu perlembagaan Seksyen 13 Akta Keselahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma 2012).

Seksyen 13 (1) Akta itu menyatakan bahawa ikat jamin tidak boleh diberikan kepada seseorang yang dituduh dengan kesalahan keselamatan.

“Kami telah menghantar surat representasi kepada Peguam Negara (Tommy Thomas) pada hari Isnin untuk pertimbangan beliau.

“Saya difahamkan bahawa beliau (Tommy) memerlukan masa untuk mempertimbangkan representasi.

“Rakan saya (DPP Muhammad Iskandar Ahmad) boleh mengesahkan ini, “kata Ramkarpal kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ramkarpal juga memohon pendengaran hari ini ditangguhkan ke tarikh lain sekiranya surat representasi itu tidak diterima.

Iskandar kemudian mengesahkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima surat representasi berkenaan.

Beliau berkata Jumaat ini ditetapkan untuk perbincangan melibatkan Peguam Negara berhubung perkara itu.

“Kami telah menerima (surat representasi). AG kata Jumaat ini (ditetapkan untuk perbincangan mengenai surat itu). Saya tidak mempunyai sebarang halangan terhadap (permohonan) rakan saya, “kata Iskandar.

Apabila Nazlan bertanya sama ada Peguam Negara boleh membuat keputusan mengenai surat representasi itu pada Jumaat, Iskandar berkata, beliau tidak tahu dan ia bergantung kepada Tommy apabila perkara itu dibincangkan pada hari itu.

Ramkarpal kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan akan datang dalam masa terdekat untuk menentukan secepat mungkin sama ada Saminathan boleh dibenarkan diikat jamin atau tidak.

“Diharapkan mahkamah dapat menghargai kebebasan tertuduh yang dipertaruhkan kerana ia berkaitan dengan ikat jamin, dan ia (sebarang keputusan dari Mahkamah Tinggi ini) akan digunakan ke atas 11 (tertuduh) di Mahkamah Sesyen,” kata Ramkarpal ( gambar atas).

Selain Saminathan, 11 lagi tertuduh sebelum ini dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan yang didakwa berkaitan dengan LTTE dan dinafikan jaminan oleh mahkamah itu.

Nazlan kemudian menetapkan 26 Nov jam 4 petang untuk mendengar permohonan Saminathan sekiranya surat representasi tidak diterima oleh AG.

Hakim itu juga menetapkan tarikh tersebut untuk mahkamah dimaklumkan apakah AG menerima surat representasi berkenaan.

Saminathan membuat permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lalu.

Ramkarpal pada hari yang sama memberitahu bahawa hakim Mahkamah Sesyen pada 1 Nov lepas telah memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Sosma bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 1 Nov, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan oleh Saminathan dan 11 yang lain untuk merujuk isu perlembagaan berkaitan ikat jamin di Mahkamah Tinggi.