KUALA LUMPUR : Penyenaraian Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan undang-undang.

Lantaran itu, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.

“Adalah ditegaskan bahawa menurut Seksyen 688 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk menyenaraikan individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan keganasan sebagai Entiti Yang Ditentukan.

“Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti PDRM dan lain-lain kawal selia atau pengawasan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Muhyiddin, Kerajaan Malaysia telah menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas sejak 12 November 2014.

“Berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada pihak berkuasa, saya selaku Menteri Dalam Negeri mempunyai alasan kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas. Kumpulan ini dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan ini,” tegas Muhyiddin.

Untuk rekod, katanya, selain Malaysia, beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing.

Negara-negara tersebut adalah India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom. – MalaysiaGazette