MELAKA: Polis mempunyai bukti dan asas kukuh bagi menjalankan siasatan terhadap gerakan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berdasarkan risikan yang dilakukan dalam jangka masa panjang sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata daripada risikan polis menunjukan bahawa terdapat asas kukuh keganasan atau kemungkinan berlaku keganasan daripada gerakan kumpulan LTTE di negara ini.

“Soal pokok bukan hanya kepada LTTE sebaliknya daripada risikan polis terdapat elemen-eleman yang menunjukkan ada bentuk keganasan atau mungkin berlaku keganasan dalam siasatan LTTE,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2019 sempena Sambutan Hari Jadi ke-81 Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Khalil Yaakob di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Muhyiddin berkata LTTE masih dianggap sebagai kumpulan pengganas walaupun kumpulan tersebut telah diharamkan atau sebagainya telah lama berlalu.

Beliau berkata keputusan membuat siasatan terhadap kumpulan tersebut dibuat oleh pihak polis berdasarkan risikan yang dilakukan dalam satu tempoh yang amat panjang kerana tidak mahu melihat ada kecederungan mana-mana pihak dalam negara atau luar negara terlibat dalam elemen-elemen keganasan.

“Kita perlu banteras di peringkat awal lagi atau tindakan tegas berlandasakan undang-undang akan kita laksana. Bagi saya Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bertindak atas dasar kesederan untuk menjaga keselamatan negara berdasarkan peruntukan yang ada.

“Saya harap semua pihak faham kerana kita ingin menentukan negara ini sentiasa aman, elemen keganasan ini bukan bergantung kepada soal kaum, kalau ada IS berlaku di kalangan kumpulan pengganas orang Melayu dan Islam kita akan ambil tindakan,” katanya.

Polis baru-baru ini telah menahan tujuh individu termasuk dua Adun dari Negeri Sembilan dan Melaka berhubung pembabitan mereka dalam menyokong LTTE.