KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM) mencadangkan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan kerajaan baharu dengan gabungan parti pembangkang memandang DAP kini sudah dicemari dengan dakwaan terlibat dengan anasir kumpulan pengganas.

Presiden QIAM, Datuk Sirajuddin Salleh berpendapat, Mahathir perlu segera menubuhkan sebuah kerajaan bersifat ‘perpaduan nasional’ bersama UMNO,Pas, MCA, MIC dan rakan-rakan sehaluan dari Sabah dan Sarawak.

Gabungan itu dilihat lebih jujur untuk bersama menjamin masa depan negara.

Sirajuddin berpandangan amat tidak sesuai jika Perdana Menteri terus mengekalkan pemimpin-pemimpin dari sekutu Pakatan Harapan yang memerintah negara iaitu DAP yang didakwa terlibat dalam Pergerakan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

“Mereka (pemimpin DAP)  sudah terpalit sebagai penyokong tegar dan terlibat dalam mempromosi dan mencari dana untuk menggerakkan aktiviti LTTE di negara ini maka mereka tidak layak untuk berada dalam kerajaan.

“Masanya sudah tiba untuk Tun M bertindak menjarakkan dirinya dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari sesiapa jua yang terlibat menyokong LTTE.

“Ini termasuk juga DAPm parti yang mereka wakili dan yang mendokong perjuangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia menurut Sirajuddin selari dengan prinsip Mahathir sendiri yang menentang keganasan serta selaras dengan dasar negara yang mengisytiharkan LTTE sebagai pengganas dan itulah sebaik-baik tindakan.

Menurutnya, perkembangan terbaharu itu juga membuatkan masyarakat Melayu kini menarik sokongan kepada PPBM dan juga Mahathir sendiri.

“PPBM juga tidak sesuai lagi untuk semeja bersama DAP kerana parti itu telah sanggup mengenepikan keutuhan undang-undang dan kepentingan keselamatan negara sehingga mereka sanggup mencabar dan cuba mengganggu polis dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab PDRM,” ujarnya lagi.

Beliau dalam kenyataan sama telah menyatakan mengenai tindakan beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan ENg yang membantah keras tindakan polis yang menahan 12 individu termasuk dua pemimpin DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan disyaki terlibat dengan LTTE.

Beliau turut mengecam tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendesak kerajaan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012( SOSMA) yang digunakan dalam penahanan kesemua 12 individu itu.

-MalaysiaGazette