KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat hubungan DAP dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) kerana tidak mahu mana-mana pihak secara tersembunyi menyokong ideologi ekstrem dan menjadikan Malaysia ‘negara’ naungan kegiatan mereka.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membuat seruan itu susulan tindakan beberapa ahli politik DAP seperti Charles Santiago, P. Ramasamy dan M. Kulasegaran yang beriya-iya menidak dan mempersoalkan penahanan beberapa ahli politik parti mereka.

Menurutnya, Santiago turut menyoal pendirian Malaysia terhadap kumpulan pengganas terbabit dan mendakwa perjuangan LTTE adalah sama seperti perjuangan di Palestin.

Lim Guan Eng juga dengan secara tidak malu memberikan kenyataan bahawa pihak polis akan memberhentikan penangkapan ahli politik DAP walhal pihak PDRM menafikan dengan sekeras-kerasnya kenyataan itu.

“Hal ini menimbulkan pertanyaan adakah DAP mempunyai sebarang pengetahuan terhadap kelakuan ekstrem ahli-ahli mereka dalam menggerakkan LTTE? Dan jika ia mempunyai pengetahuan tentang penglibatan beberapa ahlinya menghidupkan semula LTTE, apakah yang telah DAP lakukan untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa?,” kata Naib Presiden UMNO itu.

Khaled turut mempersoalkan mengapa DAP perlu bersikap prejudis, ‘double standard’ dan menyerang PDRM dalam pengendalian kes ini.

“Wibawa apa yang dipunyai oleh DAP dalam hal-hal keselamatan sehingga mereka dengan lantang sekali mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam hal ini. Adakah laungan ‘rule of law’ hanya terpakai kepada pihak lain dan DAP serta pemimpinnya kebal dari tindakan undang-undang?,” tanyanya kerana amat pelik juga apabila Lim Kit Siang tanpa segan menyarankan pihak polis untuk menjadi lebih telus dalam menjalankan tugas mereka.

Tegasnya, sebagai sebahagian dari kerajaan, DAP wajib menghormati pasukan risikan dan keselamatan negara dan mempersoalkan mereka bermakna mempersoalkan integriti dan wibawa kerajaan itu sendiri.

Tambahnya, DAP mesti memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mereka tanpa sebarang kompromi dan jika DAP terus mempolitikkan perkara ini, DAP pasti mempunyai sesuatu yang disembunyikan.

– MalaysiaGazette