IPOH: “Saya menjadi buntu untuk menyusun kata-kata nasihat. Hanya air mata ini yang¬†sejak kelmarin terus mengalir deras. Sabarlah melalui saat-saat yang sangat sukar ini.”

Itu kata-kata sayu Menteri Besar Perak, Dr. Zambry Abd. Kadir yang ditujukan kepada ahli keluarga Datuk Wan Khai-ril Wan Ahmad yang disahkan terbunuh dalam nahas helikopter terhempas di Sarawak.

Sambil menyatakan rasa kehilangan atas pemergian Wan Khai-ril yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri, Dr. Zambry turut merakamkan takziah kepada keluarga Datuk Noriah Kasnon yang turut terbunuh dalam tragedi itu.

 

“Saya amat merasai kehilangan seorang sahabat dalam perjuangan, Dato Wan Khairil. Demikian jua dengan Dato Noriah yang merupakan junior saya di UIA. Beliau sering menganggap saya sebagai abang tua. Perasaan hiba dan simpati saya bersama dengan mangsa-mangsa yang lain,” katanya dalam laman Facebook beliau.

Mayat kelima nahas helikopter yang berjaya ditemui jam petang Sabtu disahkan sebagai Wan Khair-il melalui cap jari dan pengecaman anggota keluarga.

Menurut Dr. Zambry, beliau amat rapat dengan Wan Khai-ril yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar kerana bersama melalui perjalanan politik bermula sebagai ahli pemuda, ketua pemuda, exco pemuda Malaysia sehinggalah ke tahap kini.

“Hari ini saya kehilangan seorang sahabat yang santun sifatnya, sukar meninggikan suara, sentiasa senyum, seorang bapa yang amat menyayangi anak-anaknya, seorang suami yang amat mencintai isterinya, seorang pemimpin yang tekun pada kerjanya.

“Kehilangannya amat menyentuh sanubari saya. Saya tidak dapat melupai gurauan terakhir beliau bersama saya dan Effendi Zahari semasa dalam majlis perkahwinan anak saya pada 1hb Mei baru-baru ini. Rupa-rupanya itulah senyuman dan ketawanya yang terakhir,” ujar Dr. Zambry.

Tambah beliau, kejadian itu amat meruntun perasaannya kerana sahabatnya itu pergi dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dan wakil rakyat.

“Ya benar, inilah jalan yg kami pilih meskipun terpaksa lalui segala macam cacian, fitnah, dan kritikan. Inilah jua jalan berliku di sebalik tawa dan gurau,di sebalik indahnya mata memandang. Inilah jalan membawa kami terpisah daripada masa senggang bersama anak dan isteri, atas nama khidmat kepada rakyat,” katanya.

Dr. Zambry menambah: “Apakah ini jua suatu rungutan? Tidak, tidak. Hakikatnya inilah cerita dan risiko betapa perjalanan hidup seorang wakil rakyat dan ahli politik. Inilah tanggungan nestapa dalam jiwa.”

Pada perenggan akhir tulisannya itu, Dr Zambry meminta supaya isteri Allahyarham, Datin Mastura serta empat anak pasangan itu; Emir, Imar, Iskandar dan Ammar supaya tabah berdepan saat-saat sukar ini. – Suara Perak