IPOH – Ibu bapa digesa untuk memantau aktiviti, akaun dan penggunaan internet anak-anak mereka dengan rapi untuk membantu membendung gejala jenayah seksual dan pornografi melibatkan kanak-kanak.

Isteri Menteri Besar Perak, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi berkata kebanyakan ibu bapa tidak bertegas dalam memantau penggunaan internet dengan menggunakan telefon pintar dan ruang bual maya melalui pelbagai platform aplikasi media sosial.
“Sebaiknya, ibu bapa perlu duduk bersama dan meluangkan masa untuk melayari akaun media sosial anak-anak dan bukan sekadar membiarkan mereka hanyut dalam dunia maya. Ibu bapa juga perlu mengetahui kata laluan yang digunakan agar sebarang gejala awal dapat dibendung.
“Luangkan sekitar 30 minit untuk bersama mereka untuk tengok siapa kawan mereka, apa yang dibualkan dan apa yang mereka muatnaik  di akaun Instagram contohnya,” kata beliau.
Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan program Peka Klik Dengan Bijak anjuran Pertubuhan Wanita Prihatin Perak dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perak di Pusat Internet Malaysia Kampung Tersusun Batu 8 hari ini.
Tambah Dr Nomee Ashikin, ledakan internet dan juga informasi ini banyak dikuasai oleh generasi muda dan mereka senang sekali menggunakan internet dengan pelbagai peranti mudah alih.
“Selain bercakap tentang bahaya internet, ibu bapa juga boleh memainkan peranan dengan mendidik anak-anak mengapa mereka tidak boleh meletakkan gambar yang tidak senonoh dan tidak boleh pos kata-kata sebarangan dalam internet kerana ia akan kekal selamanya selepas klik butang send. Kita boleh delete, tapi orang lain juga boleh ambil snapshot dan sebarkan,” katanya lagi.

Sementara itu Ketua SKMM Perak Hanita Izam Abdul Rahman berharap agar kempen advokasi dan kesedaran kepada orang ramai seperti Klik dengan Bijak dapat diperluaskan ke semua daerah di negeri ini.

“Program Klik Dengan Bijak ini bukan kali pertama dijalankan malah ia melibatkan kerjasama beberapa pihak termasuk Jabatan Pendidikan Perak dan Strategi Nasional lautan Biru sejak tahun lepas dan diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini.

“Kita mahu semua golongan mendapat input tentang penggunaan media sosial serta kebaikan dan keburukannya kerana tanpa kita sedari terdapat undang-undang yang kita tak boleh lari apabila melayari internet,” katanya.

Antara lain program itu bertujuan untuk melahirkan pengguna yang cerdik terhadap teknologi dan kandungan media baru (bijak internet), mewujudkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna internet supaya beretika dan prihatin terhadap pengguna yang lain, memberi pendidikan kepada pengguna internet tentang kepentingan awal selia kendiri dan mewujudkan persekitaran yang selamat untuk pengguna melayari internet.