KEHADIRAN seorang pelukis di hadapan kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, mencuri tumpuan petugas media di lokasi untuk mengambil gambar dan merakam video gelagat lelaki itu.

Poh Chuan Tan, 45, yang tiba pada 11.30 pagi dengan selamba mengambil kerusinya dan duduk di lokasi media berkumpul sebelum membuka kertas lukisannya lalu mula melukis situasi di hadapan rumah bekas Perdana Menteri itu.

Poh berkata, dia memang sering ke lokasi tertentu untuk melukis gambar pemandangan dan hari ini dia tergerak untuk datang ke Jalan Langgak Duta selepas melihat rakannya memuatnaik gambar lokasi itu di Facebook (FB).

“Rakan saya adalah jurugambar dari Oriental Daily, dia memuatnaik gambar di tempat dia sedang bertugas. Jadi, saya berminat untuk datang dan mencoretkannya di atas kertas lukisan saya.

“Saya mahu memberi sokongan kepada pihak media yang menjalankan tugas mereka di lokasi 24 jam demi menyampaikan berita kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui.

Petugas media mula berkumpul di sekitar kediaman Najib sejak malam Rabu lalu selepas ia diserbu polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Serbuan dijalankan bagi mencari bukti berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan jenayah penggubahan wang haram.

Poh yang juga pemilik pusat seni lukis di Kepong berkata, dia mengikuti perkembangan siasatan kes berkenaan melalui televisyen dan media sosial.

Ditanya perancangannya dengan hasil lukisan itu kelak, katanya, dia mahu menyimpan lukisan itu sebagai sejarah pernah berlaku di negara ini – hmetro