TAIPING : Selepas mendapatkan beberapa anugerah dan pengiktirafan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Taiping menerima satu lagi pengiktirafan peringkat kebangsaan.

Terbaharu, lukisan mural mengenai penerbangan solo wanita pertama mengelilingi dunia, Amelia Mary Earhart yang terletak di Jalan Taming Sari dinobatkan sebagai Lukisan Mural 3D Terbesar di Malaysia.

Lukisan mural berukuran 14.6 meter tinggi dan 27.44 meter panjang terletak di Jalan Taming Sari, bersebelahan Hospital Taiping, yang merupakan hospital pertama di Malaysia.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping ((MPT) Borhan Abdul Halim berkata, lukisan itu yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat swasta dianggarkan menelan kos RM280,O00.

“Ianya satu kebanggaan kita dan dalam perancangan majlis kita akan melukis lagi 12 buah painting yang sebenar ginilah, mural panting di sekitar bandar Taiping untuk mengabdikan sejarah-sejarah yang berlaku di Taiping sejak bandar ini diwujudkan pada 1874.

“Hari ini yang pertama kita dapat yang lukisan mural terbesar dan akan ada banyak lagi mural seumpama ini berbentuk sejarah yang kita akan pamerkan di dinding-dinding rumah kedai di bandar Taiping,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sijil pengiktirafan Lukisan Mural 3D Terbesar di Malaysia daripada wakil The Malaysia Book Of Records di Taiping, pada Jumaat.

Sebelum ini, antara anugerah yang diterima oleh Taiping ialah Tempat Ketiga Bandar Lestari Terbaik Dunia dan Kempen Perhubungan Awam Terbaik 2019 anjuran Tourism Promotion Organization (TPO) di Busan, Korea baru-baru ini.

Menurut Borhan, enam daripada 12 mural yang dicadangkan akan disiapkan tiga bulan pertama tahun hadapan manakala baki enam lagi tiga bulan kemudian.

“Orang ramai tidak perlu bimbang, kesemua lukisan mural itu akan ditaja sepenuhnya oleh pihak swasta, tanpa menggunakan peruntukan dari Majlis Perbandaran Taiping,” ujarnya.

Selain itu, MPT turut merancang untuk menyiapkan lukisan mural terpanjang, lebih 2,000 kaki di dinding Penjara Taiping, yang mengandungi wajah ahli sukan dari Taiping yang pernah mengharumkan nama negara.

Antara ahli sukan itu ialah Datuk M Karathu (bolasepak), Junaidah Aman (olahraga) dan M Dataya (lontar peluru).