IPOH – Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu menyeru semua ketua jabatan dan agensi di bawah kerajaan pusat mahu pun negeri untuk melupakan segala perselisihan faham dan sengketa selama ini dan fokus kepada pembinaan semula Malaysia baharu.
Beliau berkata, sempena bulan mulia Aidilfitri ini semua pihak perlu mengambil peluang untuk saling bermaafan dan mengukuhkan persahabatan demi rakyat tercinta di negeri ini.
“Di atas kesempatan ini, kita perlu saling melupakan segala perselisihan dan sengketa terdahulu di semua peringkat jabatan, ambil peluang saling bermaafan di antara kita, kita fokus beri khidmat kepada rakyat.
“Kita perlukan komitmen 100 peratus semua pihak untuk bangunkan negeri kita, perbaikinya semula..saya harapkan kerjasama semua, gunakan bulan mulia ini untuk mula semula sebagai satu pasukan yang kukuh” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2018 peringkat RELA negeri Perak, di sini pada Khamis.
Tambah beliau, sebarang perubahan terhadap polisi atau tindakan kerajaan negeri demi kemajuan negeri tidak boleh dibuat secara tergopoh-gapah dan memerlukan kerjasama semua pihak serta masa.
“Saya dapati memang banyak masalah yang perlu dibaiki semula (oleh kerajaan negeri ketika ini) namun kalau kita nak buat sesuatu keputusan itu bukan mudah untuk kita patah balik, jadi kita perlu berhati-hati agar apa jua keputusan dibuat perlu meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu.
“Beri sedikit masa kepada kerajaan negeri kerana saya dan rakan-rakan (ahli exco) sedang berusaha gigih pastikan semua manifesto kerajaan negeri ditunaikan secepat mungkin, insyaallah,” ujarnya.