KUANTAN : Penduduk di sekitar Balok di sini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana membuat keputusan berdasarkan data dan fakta saintifik bagi meneruskan oeprasi kilang memproses nadir bumi milik Lynas Corporation Ltd (Lynas) di Gebeng dekat sini.

Ketua Kampung Balok, Mansor Mokhtar, 48, berkata, penduduk memuji keputusan Perdana Menteri itu dan meminta pihak yang berterusan menentang kilang berkenaan supaya berhenti daripada berbuat demikian.

“Cukup-cukuplah mempolitikkan isu Lynas ini. Sehingga kini langsung tiada bukti bahawa operasi kilang nadir bumi ini tidak selamat.

“Kami (penduduk) berpegang teguh kepada fakta-fakta saintifik daripada pakar-pakar yang membuat kajian dan mengesahkan kilang ini selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Beserah di sini hari ini.

Laporan polis itu dibuat ekoran kenyataan aktivis anti-Lynas Tan Boon Teet dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang mendakwa mereka merupakan wakil penduduk di situ terutama membabitkan isu Lynas.

Mansor berkata, selaku Ketua Kampung di situ, dia mewakili penduduk menafikan dakwaan dua individu berkenaan bahawa mereka merupakan wakil kepada penduduk di Balok.

“Mereka juga cuba menakut-nakutkan penduduk konon wujud pencemaran air di Balok ekoran daripada kilang Lynas, kami penduduk di Balok, Cherating, Beserah dan Sungai Ular 20 peratus daripadanya bekerja di laut, dan jika mereka kata berlaku pemcemaran sehingga menjejaskan ikan, sotong, udang, mereka cuba menakut-nakutkan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, wakil penduduk di situ sebenarnya adalah Ahli Parlimen, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

“Wakil kami bukan Wong Tack, Boon Teet dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh,” katanya.