KUALA LUMPUR – Perjuangan DAP yang menentang keras pembinaan kilang Lynas ternyata sia-sia apabila jemaah menteri yang bermesyuarat semalam telah memberi lampu hijau supaya lesen operasi Lynas dilanjutkan selama tiga tahun.

Dengan keputusan tersebut, DAP sebenarnya secara terang-terangnya telah mengkhianati prinsip parti itu.

Timbalan Pengarah Publisiti MCA, Datuk Leong Kim Soon berkata, sama ada DAP memberi kelulusan tersirat atau kekal diam semasa mesyuarat kabinet pada 12 Februari lalu, jelas sekali ‘roket’ telah membuat pusingan U mengenai isu Lynas.

“Adakah enam menteri DAP itu tidak rasa malu terhadap protes dan tindakan mereka menjelang PRU-14 yang lalu.

Ketika itu, DAP telah mencetuskan amaran dalam meraih undi tetapi selepas mendapat undi, mereka pula secara terang-terangan mengkhianati prinsip sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam membangkitkan semula isu itu, Leong berkata, sebelum mendapat kuasa, pemimpin-pemimpin DAP termasuk 6 Menteri Kabinetnya telah mengkritik hebat kewujudan kilang Lynas.

DAP menuduh kewujudan Lynas akan menjejaskan keselamatan penduduk sekiranya ia meletup.

Secara sinis, beliau berkata, apakah pendirian sebenar Ahli Parlimen Bentong DAP, Wong Tack yang bertindak sebagai pejuang alam sekitar dengan melaung-laung penutupan Lynas semata-mata mahu meraih sokongan rakyat.

“Ironinya, apabila memasuki kabinet, keputusan dibuat untuk memperluaskan lesen operasi Lynas,” tempelak Leong.- MalaysiaGazette