BAGAN DATUK: Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) selepas pengsan sejurus selesai melakukan persembahan di Waterfront Bagan Datuk di sini, tiga hari lalu.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Gerak Mesra dan Jati Diri Jabatan Imigresen Malaysia di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri sempat menziarahi penyanyi veteran berusia 78 tahun itu di HTI ketika dalam perjalanan pulang ke Bagan Datuk selepas menghadiri program di Bidor, malam tadi.

“Tiga malam lalu, beliau buat persembahan di sini (Waterfront Bagan Datuk) dan malam tadi saya sempat melawat beliau di HTI.

“Beliau pengsan dan ada beberapa penyakit selepas melakukan persembahan di sini. Kita doakan beliau segera sembuh,” katanya.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut berharap ada anak Bagan Datuk mampu mengikut jejak Raja Gelek itu yang berjaya mengukir nama dalam genre tersendiri.

“M Daud Kilau tersohor di peringkat nasional dan Insya-Allah, akan ada anak Bagan Datuk sehebat beliau dilahirkan dan bukan saja mengharumkan Bagan Datuk di peringkat nasional malah antarabangsa,” katanya.

BERITA BERKENAANAjakan debat kerja bodoh pembangkang