IPOH: Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak membabitkan Macau Scam di negeri itu dari Januari hingga bulan lalu merekodkan sebanyak 267 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM10.5 juta.

Dalam bulan ini pula, sebanyak dua kes baharu membabitkan pesara kerajaan dan guru tadika ditipu sindiket itu mencatatkan kerugian sebanyak RM319,810.

Ketua JSJK negeri, Superintendan Md Razif Alang Mat Jaya, berkata kes terbaru dicatatkan kelmarin adalah membabitkan seorang guru tadika wanita berusia 59 tahun ditipu sindiket itu sebelum membuat bayaran sebanyak RM180,000.

Menurutnya, mangsa yang menerima pesanan peti suara kemudiannya membuat panggilan semula untuk bercakap dengan sindiket sebelum sindiket memberitahu mangsa mempunyai hutang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM85,000.

Katanya, sindiket berkenaan kemudiannya menyambungkan panggilan mangsa itu kononnya untuk bercakap dengan penyiasat bernama ‘Sarjan Roslan’ sebelum mangsa diberitahu ada terbabit dengan kes dadah.

“Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan pula kononnya ke Polis Bukit Aman dan bercakap dengan ‘Inspektor Fauzi’ yang mengarahkannya memasukkan semua wangnya ke dalam akaun diberikan untuk tujuan audit.

“Oleh kerana takut ditahan, mangsa memasukkan wang sebanyak RM180,000 ke dalam akaun diberikan sebelum sindiket itu berjanji akan memulangkan wang itu sekiranya siasatan mendapatinya tiada pembabitan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Md Razif berkata, satu lagi kes yang dicatatkan bulan ini ialah pada Sabtu lalu di mana seorang pesara kerajaan menerima panggilan daripada sindiket kononnya mangsa mempunyai waran tangkap kerana membuat pinjaman berjumlah RM50,000.

Katanya, mangsa kemudiannya turut diarahkan sindiket untuk memindahkan wang berkenaan ke dalam satu akaun dan disebabkan takut, mangsa memasukkan wang berjumlah RM139,810.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini kes penipuan Macau Scam semakin membimbangkan di mana masyarakat masih lagi terpedaya dengan tipu helah sindiket walaupun pelbagai kempen dilakukan pihak polis.

“Pelbagai cara digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa dan empat cara dikenal pasti digunakan oleh sindiket adalah dengan menyamar sebagai pegawai bank, pegawai mahkamah, pegawai polis dan pegawai farmasi.

“Sebagai langkah pencegahan, masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati apabila menerima panggilan daripada mana-mana pihak yang mengaku dari mana-mana agensi atau jabatan kerajaan yang meminta membuat bayaran,” katanya.

Md Razif berkata, orang ramai dinasihatkan tidak melayani dan menamatkan panggilan sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan atau tidak dikenali kerana sindiket akan cuba meyakinkan mangsa – berita harian